21 November 2013

Pengalaman menarik ustazah Fatimah Syarha

ustzh Fatimah
Pengalaman menarik ustazah Fatimah Syarha menerusi kolum Remaja Majalah Solusi:
“Akak, kenapa akak pakai tudung labuh?” Soalan ini sudah banyak kali dilontarkan oleh remaja kepadaku. Adik bongsuku, Asiah Yusra yang sedang mekar meniti usia remaja, turut bertanya. Melihat wajahnya yang saling tidak tumpah dengan iras wajahku, aku terasa bagaikan sedang melihat diriku sendiri. Aku pernah remaja dan terpesona melihat kakak sulung bertudung labuh. Kufahami, remaja bertanya kerana mereka sedang tercari-cari identiti diri.
Kali pertama aku memilihnya sebagai imej diri ketika usiaku remaja. Saat itu, aku bertudung labuh kerana keindahannya menghiasi wanita-wanita berakhlak mulia yang kukenali. Ibuku, kakakku, kakak-kakak naqibahku, ustazah-ustazahku semuanya bertudung labuh. Hingga aku mensinonimkan tudung labuh itu dengan keindahan, keperibadian dan kebaikan. Walaupun aku turut mengenali teman-teman bertudung labuh yang akhlaknya bermasalah namun aku masih menemui keindahan jiwanya, ingin menjadi lebih baik. Hari ini, aku memilih tudung labuh kerana aku yakin ia lebih istimewa pada pandangan-Nya.
Ketika remaja, aku hampir tidak sedar banyak pertanyaan yang terpendam. Mungkin saat itu aku tidak tahu apa yang aku perlu tahu. Hinggalah persoalanku terjawab satu demi satu. Hikmah bicara kakak-kakak naqibahku menerangkan pelbagai soalan yang kutagihkan pengertian. Yang paling kuingati, Kak Siti Aisyah Mohd Nor (kini merupakan bidadari kepada seorang tokoh agama terkenal). Jasa kalian selamanya harum dalam ingatan.
Yang Tertutup Itu Indah
Ketika kubertanya tentang tudung labuh, mudah jawapan yang pernah kuterima, “Yang tertutup itu indah!” Jawapan yang membawaku mengkaji surah al-Ahzab ayat 59, maksud dan tafsirannya.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Wahai Nabi, katakan kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu, dan isteri-isteri orang mukmin, ‘hendaklah mereka melabuhkan jilbab ke seluruh tubuh mereka. Yang demikian itu supaya mereka mudah dikenali sebagai wanita baik agar mereka tidak diganggu.’”
Ya, sedangkan buku yang kita sayangi, kita sampulkan seindahnya. Inikan pula bentuk tubuh wanita, takkan tiada sampulnya? Kuperhatikan kulit bukuku yang bersampul lebih terjaga berbanding kulit bukuku yang tidak bersampul. Kuperhatikan langsir yang cantik menghias pintu dan tingkap. Kuperhatikan kain yang mengalas meja dan perabot. Benar, yang tertutup itu indah! Begitu juga cara Allah menghargai keindahan wanita dengan menggariskan perbatasan aurat. Agar keindahan itu hanya dinikmati oleh insan yang berhak. Bukannya diratah-ratah oleh pandangan yang sakit.
Istimewa Bertudung Labuh
Di sini, aku tidak mahu berbicara panjang tentang kewajipan menutup aurat. Apa yang ingin kukongsi di sini adalah tentang beberapa peristiwa dalam hidupku yang membuatkan aku berasa tudung labuh itu benar-benar istimewa. Allah banyak kali menyelamatkan dan memudahkan urusanku dengan asbab tudung labuh.
Dikejar Tebuan Tanah
Dalam satu program motivasi remaja, aku menyertainya sebagai salah seorang fasilitator. Antara aktiviti yang dilakukan ialah jungle trekking. Aku mengetuai barisan remaja puteri yang siap sedia memasuki hutan. Taklimat dan doa dimulakan.
Menderap ke tengah belantara, tiba-tiba peserta puteri paling depan terlanggar sarang tebuan tanah. Tebuan tanah berterbangan garang. Sedia menyerang. Peserta itu menjerit kesakitan kerana disengat. Peserta di belakangnya turut menjerit ketakutan. Aku yang turut berada di barisan depan ketika itu melaungkan takbir. Lantas mengarahkan peserta yang lain berundur. Mereka bertempiaran lari.
Sementara aku tetap bertahan di situ. Kututup sebahagian wajahku dengan tudung labuhku. Tangan turut kusembunyikan di bawah tudung labuh. Kulindungi beberapa peserta yang terkepung dengan tudung labuhku agar tidak disengat lagi. Segera kubawa mereka berundur. Ajaibnya, seekor tebuan pun tidak berjaya menyengatku. Subhanallah! Maha Suci Engkau yang menyelamatkan aku dengan secebis kain buruk ini.
Terlindung daripada Mata Mat Rempit
Suatu hari, aku ingin pulang ke kampusku di UIA setelah bercuti pertengahan semester di kampung halaman. Seperti biasa, aku membeli tiket bas dan berusaha mencari bas yang mempunyai tempat duduk seorang. Request. Ini penting bagi mengelakkan aku terpaksa bermalam di dalam bas dengan bertemankan seorang lelaki asing di sebelah.
Akhirnya kumembeli tiket dengan sebuah syarikat bas yang belum pernah kunaiki . Sebelum menaiki bas, aku berpesan kepada pemandu kedua agar menurunkan aku di Greenwood. Semua mata terlena melepaskan kelelahan hidup dengan mengembara ke alam mimpi yang seketika. Kedengaran sayup-sayup suara pemandu bas mengejutkan aku dari tidurku. Lantas aku terjaga separuh sedar. Ketika itu, aku duduk di kerusi seorang paling depan, tidak jauh dari pemandu.
Jam baru menunjukkan pukul 4.30 pagi. Badanku amat penat dan urat kepala terasa merenyuk. Aku bangkit dari kerusiku dalam keadaan mamai menuruni bas. Ketika berada di luar bas, aku masih sangat mengantuk. Terasa secepat kilat bas meninggalkanku.
Ya Allah! Aku terkejut kerana hanya aku seorang yang menuruni bas. Lagipun, tempat bas itu memberhentikan aku bukannya tempat perhentian bas di Greenwood seperti kebiasaan. Aku langsung tidak mengenali tempat itu. Tiada peluang untukku bertanya atau membatalkan saja tempat perhentian itu. Nyata aku sudah terlewat. Asap bas pun sudah tidak kelihatan.
Aku berada di sebuah perhentian bas. Jalan raya di hadapannya lurus. Lengang. Sunyi. Kawasan sekitarnya adalah kawasan perumahan yang sedang bergelap. Jalur-jalur cahaya hanya sedikit. Kupandang ke belakang dan mendapati tidak jauh dari situ terdapat sebuah masjid. Namun, ia kelihatan gelap. Sunyi. Kelihatan seekor anjing berwarna hitam, besar dan garang sedang berlegar-legar di luar pagar masjid. Ya Allah, pada-Mu aku bertawakal.
Aku segera menelefon kenalan rapatku, Puan Norliza Mohd Nordin untuk mengambilku. Pada masa yang sama, mataku melilau mencari kayu atau besi yang akan kugunakan sebagai senjata seandainya anjing itu mendekatiku.
“Di mana?” Tanya Puan Norliza. Susah-payah aku cuba menerangkan lokasi yang asing itu. Tambahan pula, aku tidak dapat melihat papan tanda yang menunjukkan nama masjid. Kehadiran anjing itu membuatkan aku tidak berani menghampiri masjid. Sukar Puan Norliza mentafsirkan lokasi aku berada.
Tiba-tiba, sekumpulan samseng jalanan dengan pelbagai aksi motosikal yang berbahaya berhenti beramai-ramai di seberang jalan tempatku berada. Bagaikan ada mesyuarat penting di situ. Aku tiada tempat bersembunyi. Apa yang mampu kulakukan adalah tetap berdiri di tempatku dan membaca segala ayat al-Quran yang pernah kuhafal. Tawakalku memanjat langit dunia. Kebetulan, aku berjubah hitam dan bertudung labuh warna hitam. Aku menggunakan kesempatan itu untuk menyembunyikan diriku di balik warna malam. Cebisan kain turut kututup pada wajahku yang berkulit cerah.
Saat yang amat mendebarkan dalam hidupku, kelihatan anjing yang garang sedang berlari ke arahku. Kupujuk hati, anjing itu akan baik padaku kerana ia tidak menyalak. Samseng jalanan pula seakan sedang memandang-mandang ke arah lokasiku. Ketika itu, aku mengucapkan dua kalimah syahadah berkali-kali. Aku siapkan emosi untuk berjihad mempertahankan diri. Biar nyawa jadi taruhan, menyerah tidak sekali!
Allah menjadi saksi. Aku bagaikan tidak percaya apabila melihat anjing itu sekadar melintasiku seolah-olah langsung tidak melihatku di balik kegelapan. Walau bagaimanapun, aku masih resah melihat samseng jalanan asyik memandang ke arahku. Aku bertambah risau membayangkan Puan Norliza mungkin tidak dapat mengagak lokasiku itu kerana dia asyik menelefonku. Tiba-tiba samseng jalanan itu beredar. Bunyi ekzos mengaum pergi, pelbagai aksi. Mereka seakan-akan memandang dengan pandangan yang kosong sahaja ke arahku sebentar tadi. Puan Norliza pula sampai, menambahkan syukurku. Hatiku yakin, Allah telah menyelamatkanku di balik tudung labuh berwarna gelap itu. Alhamdulillah!
tudung-labuhMenyelamatkan Beg Tanganku daripada Ragut
Seorang temanku dari Brunei sudah beberapa hari tidak datang ke kelas sarjana. Aku risaukan keadaannya. Apabila dia datang kembali, aku segera bertanya. Dia menunjukkan pipinya yang calar sambil bercerita dengan juraian air mata.
Dua orang pemuda yang menunggang laju meragut beg tangannya. Dia ikut terseret. Ketika itu pula dia sedang mengandung dua bulan. Hampir-hampir keguguran. Kedua-dua lututnya terluka. Pipi dan tangannya tercalar. Berdarah.
Aku sedih mendengar ceritanya. Dia memegang hujung tudungku sambil menyimpulkan, “Jika akak pakai tudung labuh macam ni, tentu diorang tak nampak beg tangan akak.” Kata-kata itu membuatkanku benar-benar berfikir jauh. Aku bersyukur kepada Allah s.w.t. kerana tidak pernah menjadi mangsa ragut. Baru aku sedar, rupa-rupanya antara faktor yang menyelamatkanku adalah kerana beg tanganku sentiasa tersembunyi di bawah tudung labuh. Cuba anda bertanya kawan-kawan anda yang menggalas beg tangan di bawah tudung labuh, pernahkah mereka menjadi mangsa ragut?
ftimah syarha dan farhan hadiMendekatkan Jodoh dengan Lelaki Soleh
Aku hairan melihat beberapa orang temanku yang mulanya bertudung labuh tapi akhirnya menukar penampilan kerana takut tidak dipinang. Aku hormati penampilannya selagi masih menutup aurat namun jika itu alasannya, dia mungkin tersilap. Aku yang tetap bertudung labuh ini juga akhirnya yang agak cepat menerima pinangan.
Suamiku mengakui antara faktor yang meyakinkannya pada agamaku saat memilih bunga untuk disunting adalah kerana nilai tudung labuhku. Wanita bertudung labuh lumrahnya hanya berani dirisik oleh lelaki yang mempunyai persiapan agama. Jika malas hidup beragama, mereka akan berfikir beribu kali untuk memiliki seorang suri yang bertudung labuh. Rasa tidak layak. Rasa perlu membaiki diri terlebih dahulu.
Pernah juga aku dan suami cuba memadankan beberapa orang temanku dengan lelaki-lelaki soleh yang kami kenali. Apabila biodata bertukar tangan, gadis bertudung labuh rupa-rupanya menjadi kriteria penting seorang lelaki soleh. Malang bagi temanku yang sebenarnya baik dan berbudi bahasa, namun kerana penampilannya itu melambatkan jodohnya.
Benar, kita tidak boleh menilai seseorang hanya melihat luarannya. Namun, realitinya, kadang kala masa terlalu singkat dan peluang tidak ada untuk kita mengkaji dalaman seseorang sehingga terpaksa menilainya hanya melalui luarannya. Contoh realiti, jika kita ingin membeli nasi lemak di gerai. Kelihatan penjual di gerai yang pertama ialah seorang makcik bertudung labuh. Penjual di gerai kedua pula seorang wanita tidak bertudung dan rambutnya menggerbang lepas. Mana yang kita pilih? Kenapa cepat membuat pilihan sebelum mengkaji dalaman kedua-duanya dahulu? Apa nilaian kita ketika itu? Fikir-fikirkan.
Hormatilah Selagi Masih Menutup Aurat
Ya! Ya! Ya! Kudengari suara-suara hatimu yang sedang berbisik, “Ramai saja yang bertudung labuh tapi tak baik.” “Tudung tak labuh pun masih tutup aurat.” “Don’t judge people by its cover.” Kuhormati semua kata-kata ini sepertimana kuhormati dirimu yang masih bertudung. Alhamdulillah. Aku cuma berkongsi secebis pengalaman dalam hidupku yang menyebabkan kurasakan tudung labuh terlalu istimewa. Buat adik-adik remaja yang pernah bertanya, akak harap adik menemui jawapannya.

14 February 2013

Just Say No To Valentine's Day

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang..

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakaatuh..

Alhamdulillah sebagai satu tanda kesyukuran yang tak terhingga dipanjatkan kepada Allah SWT yang sentiasa melimpahkan rahmatNya keatas kita semua. Dengan helaan nafas yang masih diberikanNya.. Dengan nikmat Islam itu sendiri merupakan satu tanda kasihNya yang Maha Agung pada kita hamba yang selalu terleka.

Semoga kita semua akan tetap dan kekal berada di dalam RahmatNya dan tergolong dalam golongan yang sedang mencari CintaNya.. InsyaAllah.

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan
yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).” (Surah Al-Hujurat ayat 13)
Melihatkan situasi dan keadaan kini, terdetik  di hati saya seorang hamba yang hina ini untuk mencoretkan seribu satu kata-kata buat renungan kita bersama sebagai satu tanda sayang dan persaudaraan kita. Kali ini berkenaan isu “ Hari Valentine”.

Izinkan saya memulakan sedikit bicara.
Ada apa dengan hari Valentine? Saya yakin dengan soalan itu anda sendiri sudah dapat mencerna dan membayangkan apa itu hari valentine. Hari di mana surat-surat (sms, video dan sebagainya) mula berterbangan mengirimkan pelbagai ucapan dan kata-kata manis semata-mata untuk menterjemahkan perasaan cinta kepada insan yang tidak mempunyai hak dan talian sedikit pun. Hari dimana perkataan cinta itu diangkat dan dijulang setinggi-tingginya dengan pelbagai cara. Ada yang memberikan hadiah dan tak kurang juga dengan keluar bermesraan bersama pasangan masing-masing.

“ Katakanlah kepada orang-orang mukmin (lelaki) agar mereka menundukkan pandangan mereka dan menjaga kemaluan mereka. Demikian adalah lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada wanita mukminah agar mereka menundukkan pandangan mereka dan menjaga kemaluan mereka”( Surah An-Nur : ayat 30,31)

Sejarah hitam disebalik hari valentine
Sedarkah kita apakah peristiwa hitam yang berlaku disebalik hari valentine ini? Luangkan sedikit masa untuk membacanya. Fahamilah  dan carilah apa yang tersirat disebaliknya jika benar anda cintakan Islam. Valentine’s asal nama sebenarnya St. Velentino merupakan seorang paderi paling berpengaruh di zaman pemerintahan ratu Isabella di Sepanyol dan juga merupakan antara orang terpenting yang menghancurkan tamadun Islam di Sepanyol. Oleh itu ratu Isabella telah menetapkan 14 Februari sebagai hari mengingati kemenangan kristian terhadap Islam. Maka barangsiapa yang merayakannya seolah-olah ia bergembira dan merestui ke atas kekalahan orang Islam di Sepanyol.!!

Fatwa JAKIM berkenaan hari valentine
”  Amalan merayakan hari kekasih ( Valentine Day ) tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah dilarang oleh Islam yang jelas bercanggah dengan aqidah, syariah dan akhlak Islamiah. Oleh itu umat Islam adalah DILARANG daripada melibatkan diri di dalam meraikan hari tersebut. ” bertarikh 27 Disember 2005.

Apakah itu Cinta?
Kita diciptakan tidak serupa tapi tetap sama. Kerana kita diberikan cinta cuma bilamana cinta itu cuba diterjemahkan ada yang mengatakan begini dan begitu. Dan secara mudahnya “cinta itu adalah tanggungjawab”. Benar kata seorang ustaz cinta itu adalah tanggungjawab. Kerana cinta yang dipandu syariat melahirkan tanggungjawab yakni memikul amanah yang diberikan itu menuju redhaNya dengan matlamat yang jelas. Manakala cinta yang dipandu nafsu hanyalah mengiyakan rasa gembira dan demi memuaskan nafsu semata-mata tanpa tujuan yang nyata lagi kukuh.

Salahkah bercinta?
Tidak! Bercinta itu tidak salah tetapi realiti hari ini, “jalan” yang dipilih itu salah..! Jika diperhatikan kebanyakkan remaja kini tidak melorongkan cinta yang lahir itu pada jalannya yang benar. Maka wujudlah perkataan yang dipanggil “couple”. Dan hari-hari untuk meraikan cinta ini (valentine) mula dijulang dan diangkat. Dari detik itulah mulanya bibit-bibit kemesraan yang dipandang “indah” oleh nafsu. Nauzubillah. Semoga kita dipeliharaNya.. Islam itu luas dan tidak pernah mengongkong bahkan ia memandu kita supaya sentiasa kekal di atas jalan yang diredhaiNya. Penyelesaiannya..??

Hadis Rasulullah SAW : "Wahai pemuda-pemuda, sesiapa sahaja diantara kamu yang berkemampuan untuk berkahwin, maka berkahwinlah kerana dengan berkahwin dapat menundukkan pandangan dan menjaga kehormatan diri" (riwayat Bukhari dan Muslim)

Akhir kata
Ingatlah dalam setiap situasi dan di mana sahaja kita berada, dahulukan Allah dalam setiap perkara. Kerana itulah pegangan dan agama kita. Kerana kita ini hanyalah hamba ciptaanNya semata-mata. Dan bersama-samalah kita berdoa dan meminta supaya dijauhkan dari perkara yang boleh menjerumuskan kita ke dalam nerakaNya. Cintailah Pemilik Cinta kerana itulah cinta yang sebenar dan kekal selamanya.!!

Cinta antara makhluk itu anugerah dariMu jua.. Hanyalah secebis daripada KasihMu yang Maha Agung.. Maka berkasih sayanglah makhlukMu sesama mereka.. Sehingga ibu harimau pun menyembunyikan kuku daripada anaknya..
Ingatlah,
cinta itu merupakan Hadiah daripada Ilahi,
kepada hambanya,
agar tenang hati-hati ini dalam mengejar keredaan Nya,
Namun janganlah dilebihkan hadiah itu,
lebih daripada Pemberi hadiah.







Sekian dahulu, Wallahu’alam.

25 January 2013

TINTA NAIB PRESIDEN





INDAHNYA SUNNAHMU YA RASULULLAH.

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَ عَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَسلِّمْ 


AllahummaSolli'AlaMuhammad Wa'ala Alihi Wasohbihi Wabarikh Wassalam.


Sabda Rasulullah SAW:


“Sesiapa yang menghidupkan sunnahku, maka sesungguhnya dia telah mencintaiaku.Dan sesiapa yang mencintai aku nescaya dia bersama-samaku di dalam syurga”. 
(H.R. Al-Sajary daripada Anas)


Saiyidina Ali bin Abi Talib r.a. meriwayatkan : Aku bertanya Rasulullah s.a.w. mengenai sunnahnya. Baginda menjawab dan terjemahannya seperti berikut:-

Makrifat adalah Modalku,
Akal adalah punca Agamaku,
Perasaan Cinta adalah Asasku,
Kerinduan adalah Kenderaanku,
Mengingati Allah adalah Teman kesunyianku,
Siqah adalah Khazanahku,
Rasa Sedih adalah Temanku,
Ilmu adalah Senjataku,Sabar adalah Pakaianku,
Redha adalah Ghanimahku,
Rasa Lemah adalah Kebanggaanku,
Zuhud adalah Pekerjaanku,
Yakin adalah Kekuatanku,
Jujur adalah Pemberi Syafaat Kapadaku,
Taat adalah perkara yang Cukup Untukku,
Jihad adalah Akhlakku,
Penenang Hatiku adalah ketika Bersembahyang,
Buah Hatiku adalah ketika MengingatiNya,
Kesedihanku adalah kerana Umatku dan kerinduanku yang amat sangat kapada Tuhanku.

Dipetik dari 'Kitab Sirah Rasulullah s.a.w.' karangan Syeikh Muhammad al-Khudhari (m.1345H, 1927M), terjemahan oleh Mohd Asri bin Hashim, Pustaka Salam Sdn Bhd, Kuala Lumpur, 1998, mukasurat 501.

Disini, ingin saya selitkan sedikit peringatan untuk diri saya & untuk semua muslimin & muslimat.

Tertegaknya agama Islam sehingga kini atas pengorbanan daripada Nabi Muhammad SAW dan para sahabat baginda yang telah bersusah payah untuk menegakkan islam walaupun pelbagai tentangan yang dihadapi sehingga sanggup bermati-matian dan gugur shahid dalam mempertahankan Islam.Bahaya yang menanti demi menyebarkan dakwah Islamiah tidak pernah digurungi.Rasulullah SWT turut tercedera dalam peperangan demi mempertahankan Islam namun baginda tidak pernah berputus asa dalam meneruskan perjuangan.

Perhatikan keliling kita, bagaimana pemuda pemudi islam sendiri telah mengabaikan hak-hak islam. Kemanakah akidah, akhlak dan nilai-nilai keislaman kita? Fikirkanlah..kalau solat fardhu tidak dapat dijaga, bagaimana akhlak hendak dapat dibentuk? Solat merupakan ibadah didikan Allah s.w.t. dalam membentuk akhlak seseorang muslim. Setiap orang Islam yang menghayati ibadah solat akan mempunyai keperibadian yang tinggi. Kerana didikan sempurna melalui solat.Firman ALLAH SWT:

“ Dan dirikanlah solat, sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar. “ ( Surah al-Ankabut, 29 : 45 )

Sabda Rasulullah s.a.w.“Sesungguhnya aku merindui saudara2 ku.”

Para sahabat bertanya “Tidakkah kami saudaramu?” 


Rasulullah s.a.w. bersabda, “Kamu adalah sahabatku, saudaraku ialah mereka yang tidak pernah melihatku tetapi beriman denganku.”(Riwayat Baghawi, berkata Imam Nawawi, “hadis sohih.”)

Betapa sayangnya Rasulullah SAW kepada kita sebagai umatnya sehinggakan disaaat kewafatan baginda, baginda lebih mementingkan keadaan umatnya yang mendatang sambil menyebut”umati,umati..”sambil menangis, daripada kaum keluarga dan para sahabat.Ya ALLAH..bertapa cintanya baginda kepada umatnya.

Wahai umat Muhammad, bersyukurlah kita kerana mendapat kelebihan berbanding dengan umat nabi-nabi lain.Umat Muhammad akan diberikan syafaat di akhirat kelak.

Imam Hasan a.s. berkata:-

Dalam menjawab beberapa pertanyaan yang diajukan oleh sekelompok orang Yahudi, Nabi Saw bersabda, “Mengenai syafaatku, kelak di hari kiamat aku akan memberikannya kepada mereka yang berlumuran dosa kecuali orang-orang musyrik dan zalim.” [24]

Mengenai seksaan atas orang-orang kafir dan musyrik, hal tersebut sesuai dengan ancaman yang telah Allah berikan sebelumnya. Karena itu, para nabi, rasul, dan serta mereka yang diberi izin oleh Allah Swt untuk menjadi syafi’ di hari kiamat tdk akan memohon syafaat&ampunan bagi kaum kafir dan musyrik, serta mereka yang disebut oleh Al-Quran sebagai penghuni abadi neraka jahanam. Ringkasnya, dalam masalah ini ada dua golongan, yaitu mereka yang beriman tapi berlumuran dosa dan mereka yang kafir dan ingkar kepada Allah Swt. Menyamakan kedua golongan ini dalam menerima hasil perbuatan di akhirat nanti adalah tindakan yang keliru.

Akhir kata, teruskan memerangi kemungkaran dan menyeru kepada kebaikan...

31 December 2012

SELAMAT MENDUDUKI PEPERIKSAAN AKHIR

السلام عليكم ورحمة الله  وبركاته   

Dan salam sejahtera  kepada semua mahasiswa UTM Kuala Lumpur. Alhamdulillah, bersyukur saya panjatkan kehadrat ilahi kerana dengan limpah kurnianya saya dan sahabat-sahabat masih lagi diberi nyawa untuk