20 July 2009

3 Kategori Cinta Menurut Islam


Bercinta menurut perspektif Islam adalah tidak salah kerana ia adalah fitrah manusia. Memanglah diakui semua orang mahu dicintai dan mencintai tetapi persoalannya perasaan cinta itu perlulah mematuhi peraturan yang ditetapkan Allah.

Ini kerana matlamat cinta ialah untuk menyelamat, mententeram dan membahagiakan manusia. Jadi meluahkan kasih sayang antara lelaki dan perempuan perlulah melalui saluran yang dibenarkan oleh syarak seperti perkahwinan.

Di dalam Islam ada tiga kategori cinta iaitu; Cinta kepada Allah dan Rasul, cinta kepada manusia dan cinta kepada harta duniawi. Cinta yang hakiki ialah cinta kepada Allah dan Rasul, manakala cinta kepada manusia dan harta duniawi adalah ujian Allah untuk menentukan tingkat keimanan dan ketakwaan. Ia tidak kekal dan bergantung kepada keadaan.

Di dalam Islam, kita dibenarkan mencintai sesiapa sahaja asalkan perasaan cinta itu dibina atas dasar cinta kerana Allah. Ini kerana Allah yang mencipta insan yang kita sayangi dan kasihi. Oleh itu kecintaan kepada manusia sepatutnya menjadi satu wadah untuk mendapatkan keredaan Allah.

Bagaimana kita hendak mencintai seseorang kerana Allah? Pertama, kita kena sentiasa mendahului kehendak Allah sebelum kita penuhi kehendak individu yang kita cintai. Kedua, cinta kepada manusia mestilah berlandaskan kepada syariat dan ajaran Islam. Jangan sampai terleka dan melakukan perbuatan yang dimurkai Allah. Contohnya membuktikan cinta sehingga sanggup melakukan zina.

Yang ketiga, keimanan kepada Allah mendahului segala keinginan duniawi dan keempat, cinta suci seharusnya dilandaskan dengan akhlak dan keperibadian Islam. Ia bermaksud, cinta tidak boleh berlandaskan keinginan nafsu semata-mata.





No comments:

Post a Comment