Elit Dalam Dunianya Yang Tersendiri
Sejak dari dahulu, budaya masyarakat Malaysia umumnya melihat, mahasiswa dan mahasiswi adalah satu kelompok masyarakat elit. Dunia mahasiswa mempunyai gaya dan kelasnya yang tersendiri. Walaupun mahasiswa datang dari pelbagai latarbelakang keluarga, taraf hidup dan sebagainya, gaya hidup remaja dengan suasana hidup di kampus adalah satu dunia yang nyata berbeza. Disebalik kehidupan remaja di kampus yang indah, wujud kecenderungan dalam kalangan mahasiswa untuk hidup dalam dunianya yang tersendiri.
Ada mahasiswa memilih untuk berada dalam dunia yang ideal, segalanya mengikut aturan berdasarkan konsep-konsep sepertimana yang digariskan dalam buku. Satu kelompok mahasiswa memilih untuk hidup dalam kehidupan yang penuh warna-warna glamour, hidup berseronok dan ‘berjinak dengan cinta’. Terdapat juga kelompok yang memisahkan diri dengan tidak bergaul dengan mana-mana pihak atau kumpulan.
Walau apapun kelompok yang dipilih, realitinya rata-rata mahasiswa semakin jauh dari masyarakat. Contoh paling mudah apabila mahasiswa pulang bercuti ke pangkuan keluarga. Terdapat segelintir mahasiswa di desa contohnya, yang merasa kekok bergaul dengan rakan sekampung. Komunikasi dengan orang-orang tua semakin melebar jurangnya. Mahasiswa berasal dari bandar juga tidak kurang hebatnya. Kesempatan bercuti dihabiskan dengan menyendiri di rumah berteman gitar, majalah hiburan atau ‘computer games’. Mahasiswa kurang bergaul dengan masyarakat mahupun rakan-rakan lama.
Tambah mengeruhkan keadaan, apabila masyarakat mula mengecop mahasiswa sebagai kelompok yang sombong, terlalu merasakan diri sebagai elit dan sukar difahami. Masalah moral dan gejala negatif lain seperti pergaulan bebas turut menggelapkan pandangan masyarakat terhadap mahasiswa.
Program Baktisiswa – Keluarga Angkat @ Keluarga Angkut?
Mahasiswa dan golongan cendiakawan di institusi pengajian tinggi amat menyedari masalah ini. Lalu dibentuklah modul-modul baktisiswa yang sangat popular dalam kalangan warga kampus. Pelbagai slogan, tema, dan nama program baktisiswa yang ‘catchy’ ditempelkan dalam program baktisiswa. Modus operandinya tetap sama seperti berikut :-
‘ Sekumpulan mahasiswa akan datang ke kampung-kampung selama 3-4 hari. Ibu-bapa angkat dipasangkan dengan mahasiswa yang kemudian digelar sebagai ‘anak angkat’ sepanjang program. Jika bajet keseluruhan program besar, satu keluarga akan dapat 1 anak angkat. Sebaliknya jika bajet program kecil, satu keluarga akan beroleh 2-3 anak angkat. Cara terbaik untuk menjimatkan kos.
Keluarga angkat akan menerima sedikit saguhati berupa wang tunai. Lazimnya pelajar akan membuat aktiviti program yang strerotaip - kelas motivasi, cat sekolah, bersihkan tanah perkuburan, balai raya dan kemuncak program adalah malam kebudayaan. Hubungan dengan keluarga angkat kebanyakannya bertahan 3-6 bulan seusai program. Itupun jika adalah program susulan yang lazimnya adalah jemputan kepada keluarga angkat untuk melawat kampus. Jika tidak hubungan itu menghilang sederas angin bas universiti yang membawa mahasiswa pulang setelah selesai program baktisiswa.’
Persoalannya, berbaloikah wang, tenaga dan masa yang dicurahkan untuk program baktisiswa? Tidak dinafikan program baktisiswa adalah program yang baik tetapi pendekatan dan pelaksanaan program baktisiswa harus dikaji semula. Paling penting program baktisiswa harus meninggalkan kesan dan faedah kepada golongan sasaran dan yang utama, hubungan mahasiswa dan masyarakat harus dirapatkan.
Penjenamaan Semula Program Baktisiswa
Bergaul dengan masyarakat memerlukan kepekaan mahasiswa dengan masalah dan keperluan masyarakat. Langkah pertama mahasiswa harus disertai keazaman dan usaha untuk menurunkan ego. Ego mahasiswa yang merasakan mereka sebagai golongan berpendidikan tinggi.
Mahasiswa harus melatih diri mereka menjadi pendengar yang sabar dan pemerhati yang tajam. Program baktisiswa yang berbentuk streotaip seperti yang dinyatakan diatas boleh dipelbagaikan pendekatannya. Penetapan kelompok masyarakat untuk dijadikan kumpulan sasaran boleh diselaraskan dengan keperluan masyarakat yang ingin didekati.
Program memasyarakatkan mahasiswa tidak semestinya program baktisiswa di kampung-kampung dan desa-desa sahaja. Tumpuan boleh diberikan kepada kawasan yang berisiko tinggi seperti taman perumahan, kampung tersusun dan rumah pangsa. Masalah gejala sosial dan fenomena keciciran dalam pengajian sangat ketara berlaku dalam masyarakat bandar. Peranan mahasiswa dapat membantu menangani kemelut ini.
Selain daripada itu penetapan kelompok masyarakat yang dijadikan kumpulan sasaran selaras dengan pengkhususan bidang pengajian kumpulan pelajar. Sebagai contoh pelajar perubatan boleh memberikan khidmat perubatan dan pemantauan penyakit berjangkit. Pelajar undang-undang boleh memberikan nasihat undang-undang kepada masyarakat yang menghadapi masalah pengambilan semula tanah. Pelajar sains pertanian dan sains aktuari boleh turun memberi khidmat kepada kelompok masyarakat tani atau nelayan.
Umumnya pendekatan memasyarakatkan mahasiswa melalui program baktisiswa adalah pendekatan formal dan berkelompok. Mahasiswa bergerak secara berpasukan dan program yang dilaksanakan adalah formal dan bersifat jangka pendek. Jika kampung ini telah dikhususkan sebagai kampung angkat universiti, maka ia bersifat jangka panjang dan mungkin kesannya dapat dilihat.
Memasyarakatkan Mahasiswa – Sirih Pulang Ke Gagang
Di satu sudut yang lain, memasyarakatkan mahasiswa adalah satu komitmen jangka panjang mahasiswa untuk turut membangunkan masyarakat. Kehadiran dan peranan mahasiswa dalam masyarakat amat terasa dan berkesan. Untuk ini, mahasiswa perlu memperkasakan diri dari segi pengkayaan ilmu, nilai moral dan kemahiran lain. Semua ini dapat membantu iltizamnya dalam mengubah minda masyarakat dengan pengetahuan dan kemahiran yang ada padanya. Ia tidak semestinya digerakkan dalam kumpulan atau kelompok mahasiswa. Ia lebih mudah dilaksanakan secara individu.
Sebagai contoh mudah, jika mahasiswa datang dari ‘Kampung A’ dan menuntut di UPSI. Persoalannya, apakah sumbangan yang boleh diberikan oleh mahasiswa ini sebagai anak jati untuk memajukan ‘Kampung A-nya’? Apakah pula harapan warga ‘Kampung A’ kepada anak jatinya yang menuntut di UPSI ini? Persoalan-persoalan ini mempunyai jawapan yang bertimbal balas. Maka di sinilah peranan dan pendekatan mahasiswa untuk memasyarakatkan mahasiswa memainkan peranannya.
Bagi memulakan langkah mendekati dan memberi sumbangan kepada masyarakat, mahasiswa disaran untuk melengkapkan diri dengan pelbagai jenis ilmu dan kemahiran. Contohnya sebagai mahasiswa Muslim, penguasaan dalam ilmu agama dan kemahiran pengendalian program keagamaan dan kemasyarakatan memudahkan mahasiswa mendekati masyarakat. Warga desa umpamanya, mudah didekati dengan menjinak-jinakkan diri dengan memainkan peranan sebagai bilal, siak atau lebih baik jika berkemampuan dan mendapat kepercayaan sebagai imam.
Kesediaan mahasiswa untuk terlibat dalam aktiviti sosial lain seperti berada di penanggah ketika kenduri-kendara atau meringankan tulang dalam majlis perkahwinan dapat merapatkan diri mahasiswa dengan penduduk setempat. Tambahan pula jika mahasiswa mempunyai pengetahuan dan kemahiran dalam pengurusan jenazah, talqin dan tahlil.
Kemahiran sebegini ditambah dengan pendekatan komunikasi yang halus dapat meletakkan diri mahasiswa untuk duduk bersama di barisan hadapan dalam pengurusan komuniti masyarakat setempat. Pada tahap ini, masyarakat setempat akan mudah memberikan kepercayaan kepada mahasiswa untuk memberikan pandangan dan pendapat dalam soal-soal tertentu. Idea dan pandangan mahasiswa terutama yang berkaitan dengan pendidikan anak-anak tempatan ataupun persoalan masyarakat yang lebih berat akan lebih menarik perhatian mereka. Dengan sendirinya, mahasiswa dapat menggalakkan masyarakat setempat untuk mendalami ilmu pengetahuan yang pelbagai disamping ilmu agama sebagai bekalan mereka di dunia dan di akhirat. Insya Allah.

No comments:
Post a Comment