“Kami menghadapi masalah dua ekstrem dalam organisasi ni,” kata seorang pengurus bahagian sumber manusia.
“Ekstrem? Fahaman melampau? Militan?” tanya saya bergurau.
“Bukan. Tapi pertentangan antara dua golongan. Satu workaholic dan satu lagi solatholic.”
Saya terkejut dengan istilah itu. Workaholic memang selalu saya dengar
tetapi kalau solatholic itulah kali pertama saya mendengarnya.
“Encik tahu apa maksud workaholic?” tanyanya.
“Orang yang gila atau mabuk kerja,” jawab saya merujuk kepada makna yang
diberi dalam kamus seperti yang pernah saya baca dahulu.
“Solatholic pula orang yang gila solat!” jelasnya tanpa dipinta.
“Dua golongan melampau ini boleh menjejaskan operasi organisasi ini.”
“Bagaimana?”
“Yang workaholic mabuk kerja hingga tinggal solat. Dan encik tentu tahu apa akibatnya orang yang tinggal solat…”
Belum sempat saya membalas katanya, dia bersuara lagi, “mereka ini kerja
beres tetapi ada masalah dengan rakan sekerja yang lain.”
“Yang solatholic bagaimana?”
“Rajin solat tetapi kerja tak beres. Kerja sambil lewa. Bagus beragama tetapi culas kerja.”
“Itu kira tak bagus beragamalah, “pintas saya perlahan.
“Mengapa?”
“Agama itu kan cara hidup yang sempurna? Termasuk solat, kerja dan
seluruh sistem hidup. Jadi, orang yang culas kerja ertinya culas juga
beragama. Begitu juga orang yang rajin bekerja tetapi malas solat. Itu
pun tidak sempurna dalam beragama,” jelas saya agak panjang.
“Bagaimana nak tangani masalah dengan kelompok solatholic ni?”
“Solatholic bukan masalah, “ ujar saya.
“Tak masalah kata awak. Orang ini mabuk sembahyang!”
“Apa maksud dengan mabuk sembahyang?”
“Banyak sembahyang?’
“Kalau begitu tak salah mabuk sembahyang sebab nabi Muhammad pun begitu…”
“Maksud awak?”
“Nabi Muhammad terlalu banyak dan lama berdiri solat, sehingga kakinya
bengkak-bengkak. Kalau itu boleh dikatakan solatholic, ya Nabi Muhammad
adalah seorang yang solatholic. Bahkan baginda menganjurkan jika kita
hendak bersamanya di syurga kelak, perlu banyakkan sujud. ”
“Rasulullullah diberitakan bila sujud, seakan-akan tidak mahu berakhir,” tambah saya lagi.
Pengurus itu kehairanan. Jelas kelihatan dia jadi serba-salah dengan kata-katanya tadi. Saya senyum, sambil menepuk bahunya.
“Tapi nabi Muhammad juga workaholic.”
“Baginda juga workaholic?”
“Ya. Bayangkan bagaimana Rasulullah s.a.w begitu banyak kerja dan
urusannya. Mentadbir seluruh negara, menyusun masyarakat, mengajar,
mendidik, memimpin dan pelbagai lagi tugasan dalam keluarga, masyarakat
dan negara.”
“Baginda seorang yang workaholic?”
“Tak tahulah apa yang dimaksudkan dengan istilah workaholic tu tetapi
jika itu bermaksud kerja keras, banyak bekerja dan gigih pula… ya
Rasulullah saw memang begitulah.”
“Jadi seorang itu boleh jadi solatholic dan dia juga workaholic pada suatu masa yang sama seperti Rasulullah?”
“Ya, sewajarnya begitu. Cuba dengar apa yang diluahkan oleh Sayidina
Umar Al Khattab insan yang berjaya meneladani Rasulullah s.a.w…”
“Apa katanya?”
“Aku bimbang untuk tidur pada siang hari, takut urusan ku dengan manusia
tidak selesai. Dan aku juga bimbang untuk tidur pada malam hari takut
urusan ku dengan Allah tidak selesai.”
Dia diam. Benar-benar dalam berfikir.
“Pada siang hari Umar Al Khattab seorang yang workaholic dan pada malam
harinya pula dia seorang yang solatholic. Itu maksud awak?”
“Pray hard, work smart. Begitulah kira-kiranya.” Saya mengiakan.
“Bagaimana boleh jadi begitu? Apa yang saya faham solatolic dan
workaholic tidak mungkin bersatu pada diri seorang manusia. Kalau dia
solatholic, secara automatik dia bukan workaholic. Begitulah sebaliknya.”
“Tidak begitu. Bekerja adalah satu ibadah… ibadah umum namanya. Manakala
solat juga satu ibadah. Ia ibadah yang khusus dan asas. Kedua-duanya
dituntut oleh Islam untuk dilaksanakan. “
“Ada kaitan antara ibadah asas dan ibadah umum? Maksud saya antara solat dan kerja?”
“Ibadah asas itu banyak berkaitan dengan hubungan manusia dengan Allah.
Ibadah umum pula berkaitan dengan hubungan kita sesama manusia.”
“Ada kaitan tidak?” tanyanya sekali lagi.
Saya diam. Berfikir sejenak.
“Orang yang paling kuat hubungannya dengan Allah dialah yang juga paling kuat hubungannya sesama manusia.”
“Kenapa?”
“Sebab kesan daripada kuat hubungan seseorang dengan Allah akan
memberikan dia satu ketulusan dan kekuatan untuk berhubung sesama
manusia. Solat akan memberi satu tenaga, semangat dan kekuatan dalam
bekerja.”
“Bagaimana?”
Saya mula diasak dengan soalan bertubi-tubi. Tapi saya akur, bukan
maksudnya untuk berbahas. Tetapi didorong oleh rasa ingin tahunya yang
semakin tinggi.
“ Solat akan memberikan kita ketenangan hasil mengingati Allah. Solat
akan mencegah daripada kejahatan dan kemungkaran. Cuba lihat rukun
fik’li, qauli dan qalbi semasa mengerjakan solat… Bukankah semua itu
mendidik kita agar bersih, menepati waktu, amanah, bercakap dan berbuat
yang dibenarkan sahaja? Kesan solat yang sempurna akan memberikan
kekuatan, keberkesanan dan kecekapan dalam bekerja,” terang saya satu
persatu.
“Tetapi kenapa ada yang solatolic tetapi malas bekerja?”
“Tentu ada yang salah dengan solatnya. Mungkin solat itu dilaksanakan
berdasarkan ritual semata-mata. Tidak difahami makna, tuntutan dan
tujuannya. Itu solat yang tidak berjiwa. Umpama bangkai yang tidak
bernyawa. Solat semacam itu tidak akan memberi kesan apa-apa pada
perlakuan dan pekerjaan selepas mengerjakannya.”
“Hairan pula kenapa yang workaholic tetapi malas solat?’
“Sebabnya sama sahaja. Jika golongan pertama tadi mengerjakan solat
tanpa kefahaman dan penghayatan, golongan kedua ini pula enggan
mengerjakan solat kerana tidak nampak apa manfaat solat dalam kehidupan
mereka… apatah lagi pada pekerjaan mereka. Solat dan kerja terpisah. Itu
anggapan mereka.”
“Jadi bagaimana mengatasinya?”
“Golongan rajin solat mesti disedarkan, difahamkan dan dididik untuk
bekerja kerana kerja itu satu ibadah. Tanda akrabnya seorang dengan
Allah adalah banyaknya dia berkhidmat untuk manusia. Sayidina Umar
pernah mengusir sekumpulan lelaki yang asyik duduk di dalam masjid
tetapi tidak bekerja.”
“Bagi golongan workaholic pula?”
“Mereka mesti juga melalui proses yang sama yakni menyedari bagaimana
solat itu akan memberi kekuatan dan ketenangan semasa bekerja. Ingat,
tadbir kita walau sekuat atau sebijak mana sekalipun masih tertakluk
kepada takdir Allah yang Maha Besar.”
Dan bagi mereka yang workaholic ini juga, kita perlu berikan peringatan,
“ jangan nanti stres, kecewa dan keletihan melanda kita kerana
keterlaluan memerah keringat atau mengasah fikiran. Solat perlu kerana
ia memberi satu kerehatan dan penyembuhan kepada keletihan jiwa dan
jasad. Lagipun rugi, jika solat ditinggalkan kerja mereka yang banyak
itu tidak akan dikira sebagai ibadah. Hanya dapat laba tetapi kosong
pahala. Ingat, solat itu kepala ibadat. Tanpa solat, segala amalan yang
lain tidak akan diterima Allah.”
“Jadi tidak salah menjadi workaholic dan solatholic jika kita memahami
dan mengamalkan ajaran Islam yang sempurna. Bahkan kita memang dituntut
begitu. Bukankah begitu?”
Saya mengangguk.
“Workaholic untuk manusia, solatholic untuk Allah?”
“Yang paling tepat ialah bekerja kerana Allah untuk manusia!”
“Apa dia ungkapan yang awak katakan tadi?”
“Yang mana satu?” saya sendiri sudah terlupa.
“Pray hard, work smart!”
“Orang yang solatholic seharusnya menjadi orang yang workaholic. Solat
akan membentuk orang yang mampu bekerja keras. Orang yang workaholic
perlu melaksanakan solat, agar mendapat kekuatan, ketenangan dan
mencegahnya daripada penyelewengan seperti rasuah, penindasan dan
perbalahan sewaktu melaksanakan kerjanya.”
“Pemikiran ini akan saya sampaikan untuk meredakan konflik antara
solatholic dan workaholic dalam organisasi ini!” ujarnya gembira.
Saya senyum lebar akhirnya. Alhamdulillah, semoga semuanya persoalan
tadi dapat diselesaikan dengan jelas dan tuntas. Namun, jauh di sudut
hati, masih ada kesedihan yang berbekas. Ya, jelas sekali betapa
hubungan yang sinergi dan serasi antara solat dengan kerja sudah semakin
kabur dalam diri umat ini. Bukan sahaja dalam amalinya bahkan dalam
teorinya. Benarnya seperti yang selalu diungkapkan, Islam bukan sahaja
agama yang paling disalahertikan oleh bukan Islam malah oleh umat Islam
sendiri!
Persoalannya, yang mana satukah anda? Tepuk dada tanya iman.
sumber: Ustaz Pahrol Juoi
No comments:
Post a Comment