14 February 2012

Girl Talk 2 : Bagaimana Cara Mengurus Cinta



Cinta adalah suatu perkara yang paling rumit untuk dikawal. Jika salah caranya, maka salah jugalah persepsi terhadapnya. Siapa kata cinta itu palsu? Buta? Tanggapan itu semua adalah salah dan bohong semata-mata kerana manusia sendiri tidak tahu bagaimana untuk kendalikan perkara-perkara seperti ini.

Dengan itu, perlunya ada “Pengurusan Cinta” bagi mengendalikan perasaan cinta yang datang secara tiba-tiba tanpa diundang. Bagaimana untuk kendalikan, dengan siapa dan apa langkah-langkah yang perlu dikendalikan. Andai kata, salah cara pengurusan tersebut, malah ia akan memberi kesan pada pengakhirannya samada memberi kesakitan kepada fizikal atau mental.

Ceramah “Pengurusan Cinta” ini dikendalikan oleh Ustaz Khairudin Ramli atau lebih dikenali sebagai Ustaz K. Menurutnya, Allah S.W.T memberikan cinta itu kepada manusia kerana cinta itu fitrah. Jika manusia melanggar fitrah tersebut, maka akan berlaku akibat yang akan mereka tanggung. Contohnya, pada zaman yang serba moden ini, manusia telah melanggar fitrah cinta dengan berkahwin kaum sejenis. Maka, kerana itu terjadinya Tsunami, gempa bumi, banjir dan sebagainya sebagai tanda peringatan kepada manusia.


Beliau juga menasihati mahasiswi-mahasiswi agar berhati-hati apabila berdepan dengan cinta. Ini kerana wanita terlalu mudah diperdaya dengan kata-kata sang pria. Bagi mengelakkan daripada berlaku, mahasiswi digalakkan memekakkan telinga mereka daripada mendengar kata-kata puitis daripada golongan mahasiswa. Di samping itu, beliau juga ada menyelitkan beberapa isu semasa seperti kahwin lari oleh remaja lepasan PMR bersama lelaki Lombok. Ini adalah gara-gara salah dalam mengurus cinta atau hanya perasaan “syok sendiri” datang tanpa diundang.



Selain itu, Ustaz K menggalakkan mahasiswi supaya sentiasa berdoa kepada Allah SWT agar mendapat jodoh yang baik. Ini kerana hanya kepada Allah SWT sahaja kita boleh bergantung untuk memperoleh sesuatu. Walaupun seseorang itu tidak beriman, tetapi pada pengakhiran kebuntuan dia pasti akan memandang ke langit dan memohon agar permudahkan segala urusan. Manusia tidak mudah lari daripada masalah. Tetapi, mereka sendiri perlu usaha untuk kendalikan masalah seperti itu. Doa yang digalakkan untuk peroleh jodoh yang baik, elok dibaca selepas solat:
                ."Wahai Tuhan kami,kurniakanlah kepada kami pasangan dan zuriat yang sejuk mata memandang(kerana akhlak dan iman) dan jadikanlah kami pemimpin di kalangan orang-orang yang bertaqwa.”
Lebih baik lagi andai kita berfikir cara sebegini:
Ketika orang lain bergantung pada dunia, gantunglah dirimu hanya pada Allah. Ketika orang lain merasa gembira dengan dunia, jadilah dirimu gembira kerana Allah. Ketika orang lain merasa bahagia kerana kekasih mereka, jadilah dirimu merasa bahagia dengan Allah, dan ketika orang-orang pergi menghadap raja dan pembesar-pembesar untuk mengais harta dan mencintai mereka, jadilah dirimu betul-betul mencintai Allah.”
Mungkin ceramah ini tidak dapat menerangkan dengan lebih mendalam disebabkan kekangan masa. Akan tetapi, dapat memberi sedikit input kepada mahasiswi agar mereka tidak mudah begitu mudah untuk terjebak dalam kancah percintaan yang penuh kemaksiatan. Jalan yang paling terbaik adalah “BERNIKAH” jika nafsu tidak dapat dikawal.
“Islam simplify the problems but human complicates it”
Wallahualam.
-BERSAMA MEMBANGUN UMMAH-

No comments:

Post a Comment