11 August 2010

Hanya Lapar dan Dahaga


Setelah sekian lama menunggu dengan penuh kesabaran, akhirnya telah tiba juga waktu yang ditunggu-tunggu oleh kita semua sebagai umat Islam menunaikan kewajipan untuk berpuasa di bulan yang mulia ini, namun masih ada segelintir masyarakat yang belum menyedari apakah faedah yang akan mereka dapati daripada menunaikan kewajipan yang diperintahkan ini. Mereka merasakan berpuasa ini hanya sekadar beroleh lapar dan dahaga. Namun sebenarnya, berpuasa pada bulan Ramadhan ini tersangatlah banyak kelebihan yang akan kita dapati, di sini juga ada disediakan antara kelebihan yang akan kita dapati daripada dua segi :


Kelebihan dari segi Islam :


1. Mereka yang berpuasa akan mendapat balasan Syurga
2. Orang yang berpuasa akan dimakbulkan permintaannya oleh Allah SWT

3. Orang yang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan iaitu
(1) Waktu Berbuka
(2) Bertemu dengan Allah pada hari kiamat kelak

4. Orang yang berpuasa akan mendapat peliharaan oleh Allah SWT
5. Orang yang berpuasa dengan sempurna dijanjikan mahligai yang indah di Syurga

6. Setiap kali orang yang berpuasa sujud dikurniakan seribu tujuh ratus kebajikan, dibinakan mahligai di syurga dan tujuh puluh ribu malaikat memohon keampunan baginya dari pagi hingga petang.


Kelebihan dari segi Sains :

1. Puasa memberi kesegaran kepada fizikal dan mental seseorang
2. Puasa bertindak menghancurkan sisa-sisa racun atau toksik dalam
darah manusia
3. Puasa akan memberi kesegaran pada otot-otot dan akan membuat
anda sihat, segar dan bertenaga
4. Puasa akan membantu menghakiskan keracunan yang berada
dalam tubuh badan manusia
5. Puasa dapat memberikan keseimbangan dalam darah

6. Bila darah kita terlampau berasid, puasa dapat menurunkan PH dan
menyebabkan darah kembali alkali
7. Puasa boleh menurunkan darah tinggi

8. Puasa boleh menurunkan berat badan

9. Puasa membersihkan segala kotoran dalam badan

10.Puasa boleh mencerahkan pemandangan mata


Daripada Abu Hurairah Radhiallahu anhu berkata : Rasulullah SAW bersabda : "Sesiapa yang tidak meninggalkan perkataan dusta dan tidak meninggalkan berkelakuan dengan dasar dusta (ertinya berdusta dengan anggota), maka Allah SWT tidak akan memberikan apa-apa ganjaran ke atas keletihannya meninggalkan makan dan minum (maksudnya berpuasa)". (Hadith Riwayat Bukhari)

Dan dalam riwayat Imam An-Nasai juga daripada Abu Hurairah Radhiallahu anhu Rasulullah SAW bersabda : "Ada banyak orang yang berpuasa tetapi ia tidak memperolehi daripada puasanya itu selain daripada lapar dan dahaga".

Dalam berpuasa hendaklah kita menjaga adab yang zahir (menjaga puasa itu agar sah menurut pandangan ilmu feqah, maka kita mesti menahan diri daripada makan, minum dan dari segala yang membatalkan puasa) dan juga adab yang batin (menahan anggota badan dari melakukan maksiat). Kita hendaklah menahan mata dari melihat perkara-perkara yang haram oleh syara' seperti melihat aurat perempuan yang bukan mahramnya dan kita hendaklah menahan telinga daripada mendengar bunyi-bunyian atau percakapan yang diharamkan oleh syara' dan juga hendaklah kita memelihara lidah daripada bercakap bohong, mencaci orang, mengumpat, bercakap kasar yang boleh menimbulkan permusuhan dan seumpamanya. Selain dari itu kita dituntut pula untuk menjaga anggota badan yang lain dari membuat dosa, seperti kaki, tangan terutama pula perut mesti dijaga supaya jangan diisi ketika berpuka puasa dengan makanan yang haram. Apalah gunanya berpuasa daripada makan yang halal kemudian di waktu berbuka puasa, perutnya dipenuhkan dengan makanan yang haram serta akan menyebabkan kemurkaan Allah SWT.

"Setiap manusia memerlukan kepada puasa sekalipun dia tidak sakit, kerana toksin-toksin makanan dan ubat berkumpul di dalam tubuh lalu menjadikannya seperti orang yang sakit dan memberatkannya, maka kecergasannya akan berkurang. Apabila seseorang berpuasa, dia akan akan terlepas daripada bebanan toksin-toksin berkenaan dan dia akan merasai kecergasan dan kekuatan yang tidak dialami sebelum itu". (Dr. Mac Fedan – Ahli Perubatan Antarabangsa)

Daripada kata-kata Dr. Mac Fedan di atas, jelaslah kepada kita bahawa secara fitrahnya manusia sangat memerlukan suatu jangka masa untuk merehatkan tubuh badan daripada berterusan menerima toksin-toksin makanan dan ubat-ubatan. Ini kerana apabila ubat dan toksin berkumpul di dalam badan manusia akan menyebabkan badan menjadi lemah dan kecergasan seseorang akan berkurang.

Banyak sungguh kelebihan berpuasa ni ek... tapi bukan hanya berpuasa sahaja yang ada kelebihan, bulan berpuasa pun ada kelebihan, antara kelebihannya ialah :

Al-Quran Diturunkan

Peristiwa agung ini berlaku pada 17 Ramadhan ketika Nabi Muhamad SAW berusia 40 tahun semasa baginda sedang berkhulwah di Hira'.

Bulan Kemenangan

Berlakunya kemenangan yang terbesar yang berjaya dicapai oleh umat Islam di dalam peperangan Badar Al-Kubra. Peristiwa ini berlaku pada 17 Ramadhan, hari Jumaat tahun 2H iaitu tahun pertama disyariatkan ibadah puasa di bulan Ramadhan. Seperti yang kita sedia maklum Allah SWT telah mengurniakan kemenangan kepada umat Islam walaupun bilangan tentera Islam hanya berjumlah 313 orang berbanding orang kafir seramai 1300 orang.

Satu lagi peristiwa agung berlaku pada bulan Ramadhan ialah berlakunya peristiwa ‘Fathul Makkah’. Ianya berlaku dalam bulan Ramadhan tahun ke 8H.

Penuh Dengan Keberkatan

Bulan Ramadhan merupakan satu bulan yang disebut : "Permulaannya adalah rahmat, pertengahannya keampunan dan akhirnya dijauhkan daripada api neraka". Dari Abu Hurairah Radhiallahu anhu berkata : bahawasanya Rasulallah SAW bersabda : "Apabila bulan Ramadhan telah datang maka dibukalah pintu-pintu Syurga ditutuplah pintu-pintu Neraka dan diikatlah Syaitan-syaitan.

Bulan Penghapus Dosa

Dari Abu Hurairah Radhiallahu anhu berkata : Nabi SAW bersabda : "Barangsiapa berpuasa Ramadhan dengan beriman dan mengharap keredhaan Allah nescaya akan diampunkan dosa-dosanya pada masa-masa yang lalu". (Hadith Riwayat Bukhari & Muslim)

Bulan Tarbiyah

Bulan Ramadhan mendidik umat Islam supaya menjadi hamba yang bersabar. Juga mendidik hamba-Nya kearah melakukan kebaikan serta mendidik hamba-Nya menjadi insan yang soleh dengan istiqamah menjaga seluruh anggota badan daripada melakukan perkara-perkara yang tidak disukai oleh Allah SWT.

Malam Lailatul Qadar

Umat Nabi Muhamad SAW merupakan umat yang sangat istimewa kerana dikurniakan satu malam yang mempunyai pahala melebihi 1000 bulan beribadah.

Bulan Taqwa

Dengan melakukan amalan yang dianjurkan agar dilakukan pada bulan puasa secara istiqamah seperti qiamulail, bertadarus Al-Quran dan solat tarawih Allah SWT akan mengurniakan taqwa kepada hamba-Nya.
Ramadhan itu bermaksud Panas Terik :

Ramadhan daripada perkataan ‘Ramadho’ yang membawa maksud panas yang terik. Di dalam Islam bulan Ramadhan merupakan bulan yang ke-9 di dalam kalendar hijrah. Puasa telah difardhukan kepada seluruh umat Islam semenjak tahun ke-2 hijrah sehingga hari kiamat. Lazimnya pada bulan ini cuacanya sangat panas. Bersempena dengan nama bulan tersebut, semoga Ramadhan tahun ini akan membakar dan melebur segala dosa yang telah dilakukan oleh orang-orang yang berpuasa.


http://seutastasbih.blogspot.com/2010/08/hanya-lapar-dan-dahaga.html

No comments:

Post a Comment