23 September 2010

Muhasabah Hari Raya


Assalamualaikum wbh dan Selamat Menyambut Hari Raya Aidil Fitri.Setelah hampir dua minggu Ramadan meninggalkan kita dan kita dan kini kita telah dihadiahkan Allah SWT dengan Aidil Fitri yang mana ianya telah mengembalikan kita kepada fitrah harian kita.Selama sebulan kita telah ditarbiyah oleh Allah SWT,adakah kita benar-benar mendapat manfaat daripadanya atau kita sebenar-benarnya hanya dapat menahan lapar dan dahaga.Adakah hari-hari yang bakal mendatang nanti lebih baik daripada hari-hari yang sebelumnya,ataupun ianya lebih teruk lagi ataupun ianya adalah sama tanpa ada apa-apa perubahan walaupun sebanyak 0.01%.Ramadan mengajar kita erti kesabaran,mengajar kita untuk bersabar melawan hawa nafsu daripada segenap sudut.Dibulan Ramadan juga pahala amalan kita dilipatgandakan daripada bulan-bulan yang biasa.Apa yang cuba saya sampaikan disini adalah adakah kita sudah muhasabah diri kita daripada Ramadan yang lalu?Apakah pengajaran yang kita dapat daripada ramadan yang lalu?

Menurut kamus dewan, muhasabah memberi maksud perbuatan menilai, meninjau perasaan (fikiran, pendirian dsb) ke atas diri sendiri.Pepatah Melayu ada mengatakan bahawa bumi mana tidak di timpa hujan dan laut mana yang tidak bergelora. Sayidina Umar pernah membunuh anak perempuannya dan akhlaknya sebelum menganut Islam adalah begitu rosak sekali. Tetapi biarlah kita menjadi umat yang disukai Allah iaitu orang yang hari ini lebih baik dari semalam dan hari esoknya lebih baik dari hari ini.

Selalulah muhasabah diri tidak perlu menunggu musibah untuk muhasabah diri.Inilah antara sebab utama ada segelintir daripada kita susah untuk mengambil iktibar daripada Ramadan yang lalu. Apa sebabnya?? Kalau kita tengok kes mahkamah, bapa merogol anak pun minta dibicarakan, kerana mereka menganggap mereka tidak bersalah.Samalah juga, perempuan yang tidak memakai tudung memandang perbuatan mereka sebagai wajar dan mereka ini memandang perempuan bertudung sebagai kuno dan kolot. Orang merokok memandang dirinya “macho” dan segak dan memandang orang tidak merokok sebagai bukan lelaki sejati. Apakah sebab berlaku fenomena ini di mana manusia memandang perbuatan mereka yang sebenarnya salah tetapi pada pandangan mereka perbuatan mereka adalah betul, elok dan baik. Dalam setengah kes pula puak ini semakin ramai dan memandang orang yang mengamalkan poligami dan hudud adalah orang yang kuno, kolot dan ketinggalan zaman. Mereka memandang diri mereka pula sebagai contoh terbaik untuk diikuti.

Jawapan persoalan ini diterangkan Allah dalam 10 ayat di dalam Al Quran yang sama maknanya iaitu Al An’aam 43:

“dan Syaitan pula memperelokkan pada (pandangan) mereka apa yang mereka telah lakukan.”

dan At Taubah 37:

”.......... Perbuatan buruk mereka itu dihias dan dijadikan indah (oleh Syaitan) untuk dipandang baik oleh mereka. ......”..

Serta Al Anfaal ayat 48-

“Dan (ingatlah) ketika Syaitan memperhiaskan kepada mereka perbuatan mereka (yang salah itu, untuk dipandang elok dan diteruskan), .......”

At Taubah ayat 37-.

“.......... Perbuatan buruk mereka itu dihias dan dijadikan indah (oleh Syaitan) untuk dipandang baik oleh mereka. ........”

An Nahl ayat 63-

“.............. lalu Syaitan memperelokkan pada pandangan mereka yang ingkar akan amal-amal mereka yang jahat itu;.........”

Orang yang telah berkawan rapat dengan syaitan seperti diterangkan dalam surah Az Zukruf di atas lalu syaitan tadi telah menjadikan manusia ini memandang cantik perbuatan salah mereka, apabila ditegur – masyaAllah, kita yang menasihati akan dijadikan musuh.

Masalah utama yang inginkan saya tegaskan di sini ialah è MASALAH UTAMA BAGI ORANG BERMASALAH IALAH MEREKA TIDAK TAHU BAHAWA MEREKA SEDANG BERMASALAH.

Dr Yusuf Al Qardawi telah berkata:

“Kita boleh berterus terang dalam masalah ini (kepincangan umat) dengan menegaskan bahawa kepincangan yang berlaku itu adalah berpunca dari dalam diri kita yang suka mementingkan diri sendiri dan meletakkan kesalahan di atas bahu orang lain, bagai pepatah; kuman di seberang laut nampak, gajah di bibir mata tidak nampak”

Di dalam kita muhasabah diri, Syed Sabiq telah menyediakan satu senarai lengkap untuk menjadi senarai semak untuk kita semua membaiki diri iaitu :

1. Lemah jiwa
2. Mudah putus asa
3. Putus harapan
4. Angkuh
5. Gembira tidak terbatas
6. Ujub (Kagum dengan diri sendiri)
7. Megah
8. Zalim (aniaya)
9. Girang
10. Ingkar kepada kebenaran
11. Tidak tahu berterima kasih (bersyukur)
12. Tergesa-gesa
13. Sempit dada (sempit fikiran)
14. Kurang panjang akal
15. Kikir (kedekut) untuk berbuat baik
16. Bakhil pada harta
17. Tamak haloba
18. Suka membantah
19. Suka menunjuk-nunjuk
20. Bimbang kepada kebenaran
21. Ragu-ragu kepada petunjuk
22. Bodoh
23. Lalai kepada kekurangan diri
24. Suka berkeras sewaktu berbantah
25. Tertipu dengan perasaan diri sendiri
26. Berpura-pura
27. Gelisah
28. Keluh kesah
29. Tidak suka menolong
30. Lari dari kebenaran
31. Menentang kekuasaan Tuhan
32. Derhaka
33. Melampaui batas
34. Cinta harta
35. Terpesona dengan keduniaan.

Marilah kita menginsafi diri bahawa keupayaan orang-orang kafir untuk menguasai kita dan kehinaan kita di tangan mereka pada setiap keadaan adalah merupakan bentuk seksa dari Allah kepada kita kerana kita tidak tahu menghargai nikmat Islam yang Allah berikan kepada kita. Berapa banyak hak Allah yang tidak kita tunaikan.

Insaflah bahawa siapa yang mempunyai sesuatu yang lebih disayangi dan dicintai daripada Allah, maka ini menandakan hatinya sedang sakit.

Hanya dengan mengatakan aku pasti ........... tanpa mengucapkan Insya Allah sudah cukup berdosa dan menyebabkan musibah dari Allah seperti hadis Nabi saw berikut :

Al Bayan: 951 - Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Nabi Sulaiman a.s memiliki seramai enam puluh orang isteri. Suatu ketika dia pernah berkata, malam ini aku pasti akan menggauli semua isteriku, sehingga kesemua daripada mereka akan mengandung dan melahirkan seorang anak lelaki yang hebat dalam menunggang kuda (tentera berkuda) untuk berjihad di jalan Allah. Ternyata mereka semua tidak mengandung kecuali seorang sahaja itupun hanya melahirkan anak yang cacat. Kemudian Rasulullah s.a.w bersabda: Sekiranya Nabi Sulaiman a.s berkata Insya Allah,maka setiap daripada mereka akan melahirkan seorang anak lelaki yang hebat dalam menunggang kuda untuk berjihad di jalan Allah.

Muhasabahlah diri dan bertaubatlah!!

Firman Allah dalam An Nisa': 110.

Dan sesiapa yang melakukan kejahatan atau menganiaya dirinya sendiri (dengan melakukan maksiat) kemudian dia memohon ampun kepada Allah, nescaya dia akan mendapati Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Juga dalam Yunus: 27.

Dan untuk orang-orang yang melakukan kejahatan (syirik dan maksiat), balasan tiap-tiap satu kejahatan mereka ialah kejahatan yang sebanding(setimpal) dengannya serta akan ditimpakan kehinaan; tiadalah bagi mereka pelindung dari (seksa) Allah; muka mereka (hitam legam) seolah-olahnya ditutup dengan beberapa bahagian (yang gelap-gelita) dari malam yang gelap-gelita. Mereka itulah ahli Neraka, mereka kekal di dalamnya.

Allah menimpakan bala musibah yang sebanding atau setimpal dengan perbuatan jahat/ maksiat yang dilakukan oleh manusia.

Firman Allah lagi dalam An Nisaa': 79-

Apa jua kebaikan (nikmat kesenangan) yang engkau dapati maka ia adalah dari Allah dan apa jua bencana yang menimpamu maka ia adalah dari (kesalahan) dirimu sendiri dan Kami telah mengutus engkau (wahai Muhammad) kepada seluruh umat manusia sebagai seorang Rasul (yang membawa rahmat) dan cukuplah Allah menjadi saksi (yang membuktikan kebenaran hakikat ini).

Ghaafir: 75- (Lalu dikatakan kepada mereka setelah ditimpakan dengan azab seksa): Balasan buruk yang demikian ini disebabkan kamu dahulu bersukaria di muka bumi dengan cara yang salah (pada hukum Tuhan) dan disebabkan kamu bersenang lenang dan bermegah-megah dengan berleluasa.

Sesungguhnya Allah maha Pengampun sebagaimana dinyatakan Nabi dalam Al Bayan: 570 –

Diriwayatkan daripada Anas r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Seandainya anak Adam mempunyai dua lembah harta tentu dia masih menginginkan yang ketiga. Padahal yang memenuhi perut anak Adam hanyalah tanah-tanah (kuburnya) dan Allah tetap menerima taubat orang yang ingin bertaubat

Al Bayan:1513 Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas'ud r.a katanya: Aku menemui Rasulullah s.a.w ketika baginda dalam keadaan tidak sihat. Aku menggosok baginda dengan tanganku. Aku katakan kepada baginda: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya engkau benar-benar tidak sihat. Rasulullah s.a.w bersabda: Memanglah, apa yang aku alami sekarang ini adalah sama seperti yang di alami oleh dua orang di antara kamu. Aku berkata: Kalau begitu engkau beroleh dua pahala sekaligus. Rasulullah s.a.w bersabda: Benar. Kemudian Rasulullah s.a.w bersabda lagi: Setiap orang muslim yang ditimpa musibah atau sakit dan sebagainya, maka Allah akan mengampunkan kesalahan-kesalahan dari sakitnya, sebagaimana daun yang gugur dari pokoknya

Sebagaimana yang diterangkan oleh Nabi Saw bahawa berjihad untuk melawan hawa nafsu adalah lebih besar berbanding dengan berjihad di dalam perang Badar. Manakan tidak kerana iblis tidak akan reda apabila ‘sahabatnya’ ini menjadi manusia yang lebih baik. Iblis akan memberikan perangsang agar ‘sahabatnya’ ini terus menjadi seperti dahulu iaitu bergelumang dengan dosa. Tidak cukup dengan bisikan langsung ke dalam hati, iblis akan membisikkan pula kepada “kroninya” di kalangan manusia untuk menjadi agennya agar ‘sahabat’ iblis ini berputus asa untuk menjadi orang yang lebih baik. Mari kita lihat kes ini:

Kes 20

Mek Jah di timpa pelbagai musibah. Setelah pertemuan bimbingan agama dan kaunseling, fahamlah Mek Jah bahawa setiap kesulitan dan kepayahan hidup yang dilaluinya adalah disebabkan segala keterlanjuran dan kejahilan beliau tentang agama Islam. Beliau bertaubat di atas segala kesilapan dan ingin memperbaiki diri. Perubahan pertama yang ingin dilakukan ialah untuk tidak lagi bergincu. Nampak macam mudah sahaja iaitu tidak lagi perlu bergincu. Hari pertama beliau tidak bergincu, datanglah sahabat-sahabat beliau lalu menegur seperti ini :

“Eh Mek Jah, kau sakit ke, pucat aje”

“Mek Jah, kenapa hari ini aku tengok engkau macam mayat aje!”

“Mek Jah, engkau gaduh dengan suami ke?”

“Mek Jah engkau buang tabiat ke! Kenapa engkau hari lain macam aje”

“Mek Jah, tak cantiknya langsung engkau hari ini!”

“Mek Jah, kalau engkau macam ini nanti suami engkau lari cari anak dara yang cantik!”

Dan berbagai-bagai teguran lain yang cukup menggoncang iman kedengaran saban hari hingga beberapa minggu. Disinilah perlunya peranan pembimbing yang terus menasihati agar tidak goncang iman dan tidak kembali kepada kemaksiatan.

Baru nak buang gincu pun dan begitu hebat ujiannya. Itulah benarnya sabda Nabi di atas iaitu jihad melawan hawa nafsu jauh lebih besar dari jihad perang badar. Begitulah juga apabila seseorang ingin berhenti dari merokok. Akan adalah syaitan berwajah manusia dari kalangan sahabat-sahabatnya yang akan terus mengapikan agar terus menghisap rokok. Lagi besar perubahan diri ke arah kebaikan, lebih besarlah ujian dari iblis dan syaitan dan ini dibiarkan Allah berlaku ke atas umatnya sesuai dengan ayat Al Quran di atas seperti surah Al Ankabut: 2-3 dan banyak lagi ayat serta hadis Nabi yang menerangkan ujian Allah ke atas umatnya.

Begitu besar dan luasnya rahmat dan keampunan Allah terhadap hamba-hambanya.Janganlah kita menjadi hambanya yang tidak pernah bersyukur diatas segala kurniaannya.Bersama-samalah kita muhasabah diri kita.Semoga hari ini lebih baik daripada semalam dan hari esok lebih baik daripada hari ini.Semoga kita semua ditempatkan bersama-sama dgn orang-orang yang soleh.Amin...

Selamat Menyambut Hari Raya Aidil Fitri Maaf Zahir Dan Batin.Eid Mubarak (^^,)

Sekian wassalam wallahuaqlam

No comments:

Post a Comment