29 April 2011

Amanat Presiden

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan salam sejahtera buat semua warga UTMKL,

Pertamanya, Ahlan Wa Sahlan dan selamat datang saya ucapkan kepada siswa siswi kemasukan baru bagi sesi kali ini dan sekalung tahniah juga saya ucapkan kerana berjaya menjejakkan kaki ke bumi UTMKL yang bertuah ini dan buat sahabat-sahabat yang sudah lama di sini selamat bersua kembali bagi menempuh perjalanan yang belum berakhir. Diharap sesi kali ini akan membuahkan kejayaan yang lebih bermakna dan bererti kepada kita semua.Insya-Allah.

Buat sahabat-sahabat mahasiswa tahun satu, bersyukurlah kalian kerana berpeluang
merasai nikmat berada di menara gading ini kerana di sini terhidang pelbagai peluang dan kejayaan yang bakal sahabat-sahabat gapai dan kecapi. Boleh dikatakan, UTM merupakan antara universiti yang terkehadapan dalam silibus yang berkaitan sains dan teknologi. Maka ini merupakan peluang terbaik untuk sahabat-sahabat sekalian menggali dan menerokai seberapa banyak ilmu dari bumi UTMKL ini kerana sesungguhnya ilmu tidak akan dijumpai penghabisannya.

Maka, saya mewakili saf pimpinan PMIUTMKL amat berharap agar segala ilmu dan pengalaman yang ditimba di sini dapat diaplikasikan sebaik mungkin bagi tujuan pembangunan diri ke arah melahirkan modal insan yang menepati ciri-ciri generasi ulul albab yang dikehendaki Islam.

Menerusi motto "Bersama Membimbing Ummah", kami berharap PMI akan menjadi platform terbaik buat sahabat-sahabat sekalian dalam menjadi mahasiswa yang membangun jasad dan rohaninya. Sehubungan dengan itu, kami senantiasa membuka pintu seluas-luasnya kepada warga UTMKL sekaliannya sekiranya memerlukan bimbingan mahupun nasihat dalam pelbagai lapangan masalah yang dihadapi.

Akhir kata, selamat menuntut ilmu dan ikhlaskannya kerana Allah swt supaya ilmu yang dipelajari mendapat keberkatan bagi mencapai kejayaan dunia dan akhirat. Insya-Allah.


No comments:

Post a Comment