Siapa yang pernah merasakan tahulah
betapa peritnya. Benarlah kata pujangga,“sakit yang paling dahsyat ialah
mencintai seseorang, tetapi tidak berbalas.” Aneh sekali derita sakit
putus cinta ini… benci, tapi rindu. Dendam tapi sayang. Dunia terasa
sempit, dada terasa mencengkam.
Orang yang paling boleh menyakitkan hati
kita ialah dia yang pernah paling kita cintai. Ramai orang yang hancur
hidupnya kerana putus cinta. Terlupakah pesan bijak pandai:
“Cintailah sesuatu itu sekadar saja,
berkemungkinan ia akan menjadi kebencianmu pada suatu ketika, bencilah
yang engkau benci itu sekadar saja, berkemungkinan ia akan menjadi
kecintaanmu pada satu ketika.”
Sesetengahnya hilang kewarasan berfikir. Hilang semangat juang. Malah ada yang sanggup bunuh diri. Benarlah kata orang: “Dunia
akan terkejut mendengar seseorang membunuh diri kerana kematian ibunya,
tetapi tidak akan terkejut apabila pembunuhan diri itu disebabkan
kematian kekasih yang dicintainya.” Justeru, yang minta mati, akibat frust cinta ramai sekali.
(Ingat senikata lagu: Oh, Tuhanku kau
cabutlah nyawaku). Buruk sekali keadaan orang yang ‘frust’ dalam
bercinta. Inilah salah satu akibat cinta nafsu. Jika kita berani
‘memperkosa’ kesucian cinta, awas ia akan menuntut balas dengan cara
yang paling kejam.
Ketahuilah, seseorang pernah gagal dalam
percintaan, kemungkinan dia akan terus melihat kebahagiaan itu laksana
pelangi. Tidak pernah di kepalanya sendiri, selamanya di atas kepala
orang lain. Pesimis. Prejudis. Bagaimana hendak dihadapi segalanya?
Putus cinta adalah bukti bahawa tidak ada
cinta sejati kecuali cinta yang diasaskan oleh cinta Allah. Cubalah
anda fikirkan, apakah punca pihak sana atau pihak sini memutuskan
cintanya? Mungkin kerana hadirnya orang ketiga? Mungkin dihalang oleh
orang tua? Mungkin kerana sudah jemu? Macam-macam alasan diberikan.
Ketika itu lupa segala sumpah setia, akujanji, lafaz janji yang dimetrai
sewaktu sedang ‘syok’ bercinta. Hingga dengan itu mereka yang
dikecewakan seolah-olah tidak pernah mengenal orang yang dicintai itu.
Dia benar-benar berbeza (seolah-olah dia tidak pernah kita kenali!).
Putus cinta bukanlah pengakhiran
segalanya. Ia adalah satu permulaan yang baik jika ditangani dengan
positif. Memanglah di awalnya kita rasa sukar menerima hakikat. Tetapi
percayalah… kita tetap ada Allah. Semuanya dari Allah. Dan segala yang
datang dari Allah ada baik belaka, walaupun belum terserlah kebaikannya
pada pandangan kita. Namun yakinlah, pandangan kita terbatas, pandangan
Allah Maha Luas. Sesuatu yang kita cintai, belum tentu membawa kebaikan
kepada kita. Manakala sesuatu yang kita benci, belum tentu memudaratkan
kita.
Sebagai hamba Allah, renungilah maksud firman Allah dalam surah Al Baqarah,
” Ada sesuatu perkara yang kamu cintai tetapi itu membawa keburukan
kepada kamu. Ada pula sesuatu perkara yang kamu benci tetapi sebaliknya
ia membawa kebaikan kepada kamu. Sedarlah kamu tidak mengetahui,
Allah-lah yang lebih mengetahui.”
Kita inginkan orang yang kita cintai itu
terus setia bersama kita. Biar sampai menempuh alam perkahwinan, beranak
cucu hingga ke akhir hayat. Segala kata pengukuhan telah diberikan.
Kita rasa dialah terbaik untuk kita (you are the answer of my prayer).
Tetapi entah macam mana, dia berpaling tadah. Waktu itu kita terhenyak
lalu berkata, “mengapa aku terpaksa menanggung derita ini.”Kita frust
kerana merasakan dialah yang terbaik, tercantik, ter… ter…
segala-galanya. Sukar membayangkan ada orang lain seumpama dia. Cinta
diberikan seluruhnya. Ketika si dia pergi tanpa berpaling, kita berkata,
“ya Tuhan, kenapa aku yang terpaksa menerima nasib ini?”
Harga diri orang yang putus cinta selalu
rendah. Penilaian diri terhadap dirinya sendiri menjunam ke paras
terendah. Rasa hina (gagak di rimba) berbanding kekasihnya yang pergi
(merak kayangan). Sedangkan jika masih ada iman bersemi di dada… kita
masih boleh berfikir dan berhenti seketika, lalu berkata, “Tuhan ada!”
Pujuklah hati dengan apa yang telah Allah tegaskan bahawa yang baik pada
pandangan kita belum tentu baik dalam realitinya. Katakan, dia yang
pergi itu bukan yang terbaik. Mungkin dia terbaik, tapi untuk orang
lain. Dan yang terbaik untuk kita pasti datang sebagai gantinya!
Jangan katakan kenapa aku yang kena?
Jangan labelkan aku yang malang. Tetapi katakan, aku yang terpilih.
Terpilih untuk putus cinta dengan manusia supaya ‘terpaksa’ bercinta
dengan Allah. Memang begitulah rahmat Tuhan, kekadang DIA memutuskan
untuk menyambungkan. Putus cinta dengan manusia, tersambung cinta dengan
Allah. Inilah hikmah di sebalik kesusahan, kemiskinan, kegagalan, dan
termasuklah putus dalam bercinta. Dalam ujian kesusahan selalunya
manusia lebih mudah ingatkan Allah.
Alangkah indahnya jika orang yang frust
cinta itu kembali kepada Allah secara sihat – maksudnya, bukan sekadar
merintih, mengadu, merayu atau minta mati segera. Tetapi tersentak oleh
satu kesedaran bahawa cinta Allah itulah yang sejati.
Allah tidak pernah mengecewakan seperti kekasih mengecewakan. Seorang filosof Barat, Hendrick berkata, “mencintai seorang yang tidak mencintai kamu adalah sia-sia, menyia-nyiakan orang yang mencintai adalah berbahaya.” Cubalah fikirkan… siapa yang paling mencintai kita? Siapakah yang kita sia-siakan selama ini? Fikir…
Dan tersentak oleh hakikat itu, kita mula
berfikir… barangkali putus cinta ini adalah rahmat yang tersirat,
“Allah menjemput aku untuk mencintai-Nya!” Sedarlah, bahawa Allah adalah
Tuhan yang sentiasa mengasihi kita. Tetapi DIAlah Tuhan yang sering
kita sia-siakan. Frust cinta itu hakikatnya untuk menyambungkan cinta kepada-Nya. Ketika itulah orang yang frust cinta akan benar-benar terasa bahawa dia terpilih, bukan tersisih!
Saya punya banyak cerita betapa ramai
pasangan suami-isteri yang bahagia bersama ‘orang’ yang mereka tidak
sangka apalagi harapkan sebelumnya. “Rugi, buang masa mengenang kekasih
dulu.” “Allah ganti yang lebih baik.” “Tak sangka, kami akan serasi
begini.” Begitulah suara-suara ‘testimonial’ daripada orang yang frust
bercinta tetapi akhirnya berjaya melalui kehidupan berumah-tangga dengan
orang yang lebih baik (untuk mereka).
Ya, pada waktu ‘terkena’ dulu belum
nampak lagi, sebab itu terasa marah, kecewa, dendam dan benci. Tetapi
apabila masa berlalu, segalanya bertukar menjadi syukur, beruntung dan
terselamat. Mujur putus dengan dia. Beruntung tidak jadi dengan dia!
Begitulah ilmu kita yang terbatas
dibandingkan dengan ilmu Allah yang Maha Luas. Yang penting dalam apa
jua keadaan sekalipun, iman mesti diperkukuhkan dalam dada. Ingat Tuhan.
Cintailah DIA, pasti Allah akan mendorong orang yang dicintai-Nya untuk
mencintai kita. Cinta itu bagai ‘mata rantai’ yang sambung menyambung
sesama manusia yang akhirnya bersambung kepada cinta Allah.
Percayalah frust dalam bercinta
itu satu ujian. Ujian dalam kehidupan. Ingatlah bahawa alam adalah
sebuah ‘sekolah’ yang besar. Setiap manusia adalah para pelajarnya. Dan
kita terpaksa belajar berterusan. Hidup adalah satu siri pelajaran yang
tersusun rapi untuk difahami dan dihayati sepanjang hayat.
Frust dalam cinta jika
ditakdirkan berlaku kepada anda, adalah satu pelajaran juga. Kita perlu
faham ‘pelajaran’ yang dibawa bersamanya. Jika difahami,
pelajaran-pelajaran ini akan memberi panduan dan suluhan untuk menjalani
hidup dengan lebih tenang dan bahagia pada masa akan datang. Tetapi
sekiranya pelajaran ini gagal difahami, maka hidup akan huru-hara dan
kita akan selalu menghadapi keadaan yang tidak menentu. Kemungkinan
besar kita akan ‘frust’ berkali-kali.
Semasa kita di peringkat remaja ada
‘pelajaran-pelajaran’ tertentu yang perlu difahami benar-benar sebelum
menghadapi usia dewasa yang jauh lebih mencabar. Apakah
‘pelajaran-pelajaran’ itu dan apakah cara sebaik-baiknya mempelajarinya?
Inilah salah satu persoalan penting yang mesti dijawab oleh setiap
remaja. Jangan sampai pelajaran yang sepatutnya ‘selesai’ di alam remaja
terpaksa dibawa ke peringkat tinggi. Kalau begitu rugilah, sama seperti
siswa atau siswi yang terpaksa ‘refer’ atau ‘repeat’ akibat gagal
dalam peperiksaan mereka.
Remaja adalah kelompok manusia yang
sedang melalui satu proses transisi. Mereka telah meninggalkan alam
kanak-kanak tetapi belum mencapai alam dewasa sepenuhnya. (I’m not a girl but not yet a women)
Keadaan transisi ini tidak stabil. Umpama air yang hendak bertukar
menjadi wap, maka molekul-molekulnya terlebih dahulu bergerak dengan
cepat dan tidak menentu.
Samalah dengan remaja, jiwa, akal, nafsu,
emosi dan lain-lain elemen-elemen mereka sedang bergolak. Takah usia
ini paling tidak stabil – tercari-cari identiti diri, krisis pemikiran,
perubahan biologi dan macam-macam lagi. Dan di tahap ini juga remaja
akan menemui pelbagai situasi dan kondisi – suka dan duka, kejayaan dan
kegagalan, permusuhan dan kasih-sayang, sempadan dan teladan. Muncul
pelbagai individu dengan pelbagai kelakuan dan sikap. Terjadi
bermacam-macam peristiwa dengan membawa pelbagai kesan. Salah satunya
frust dalam bercinta.
Semua ini tidak berlaku sia-sia melainkan
ada ‘pelajaran’ yang dibawanya untuk difahami dan dihayati. Remaja
mesti dapat membaca ‘mesej’ yang dibawa oleh setiap peristiwa, individu
dan keadaan yang berlaku ke atas mereka. Jika tidak, mereka terpaksa
mengulangi pelajaran itu berkali-kali. Sebab itu kita pernah temui orang
tertentu yang sentiasa berdepan dengan masalah yang sama
berulang-ulangkali.
Jadi langkah pertama supaya remaja‘lulus’
dalam pelajaran mereka ialah mereka perlu akur bahawa setiap yang
berlaku di alam remaja ada unsur pengajaran dan didikan buat mereka.
Frust cinta hakikatnya adalah ‘guru’ yang mengajar kita. Setiap guru
mengajar sesuatu yang baik, walaupun kadangkala pahit, pedih dan sakit
kita menerimanya.
Untuk itu, apabila putus cinta, hendaklah
ditanyakan pada diri, “apakah pelajaran yang disebalik semua itu.”
Pandanglah semua yang berlaku ke atas kita ada tujuan yang tertentu,
maka barulah hidup kita sentiasa bertujuan. Kata ahli-ahli sufi, setiap
yang berlaku dalam hidup ialah ‘mehnah’ – maksudnya didikan terus dari
Allah.
Mereka berpendapat bahawa apa sahaja yang
berlaku dalam hidup adalah ujian dan ujian itu hakikatnya adalah
didikan terus daripada Tuhan. Ahli sufi menambah lagi bahawa jika
manusia tidak mampu dididik melalui didikan terus dari Allah (mehanah)
maka manusia tersebut tidak akan dapat dididik lagi oleh sebarang
manusia lain. Inilah yang ditegaskan oleh Ibnu Attoillah, seorang sufi
yang terkenal dalam buku-buku karangannya.
Jika seorang datang membuat kita kecewa,
maka dia adalah ‘guru’ yang hendak mengajar kita erti sabar. Jika kita
rasa kita sedang dikecewakan, itu menunjukkan kita sedang belajar untuk
membina sikap tidak terlalu mengharap. Begitulah seterusnya dalam apa
jua situasi dan masa, kita hakikatnya sedang belajar dan dididik.
Memang pada lahirnya, manusia, peristiwa
dan kejadian yang sedang bertindak ke atas kita tetapi sedarilah
hakikatnya semua itu adalah datang dari Allah. Semuanya berlaku dengan
izin Tuhan, yang dengan itu DIA hendak mendidik kita. Maka terimalah
didikan itu dengan baik.
Apakah sebenarnya yang menjadi ‘tujuan’
di sebalik pelajaran-perlajaran yang datang dalam hidup kita? Tujuan
utamanya ialah untuk mengubah kita. Perubahan tidak dapat dielakkan
justeru hidup adalah satu proses perubahan yang berterusan. Yang tidak
berubah dalam hidup adalah perubahan itu sendiri. Perubahan sentiasa
berlaku dan ia diluar kawalan kita. Kita tidak dapat mengawal hati
‘kekasih hati’ agar dia sentiasa setia.
Apa yang boleh kita ubah ialah diri kita
sendiri. Jadi, berubahlah mengikut haluan dan kawalan kita sendiri.
Jangan izinkan orang lain hatta kekasih kita mengawal hidup kita.
Sehubungan itu, bijak pandai pernah berkata, “we cannot direct the wind but we can adjust our sail.”
Ertinya, walaupun kita tidak boleh menentukan takdir yang menimpa
tetapi kita diberi kuasa oleh-Nya untuk mentadbir diri kita.
Malangnya, ramai manusia yang ingin
memegang takdirnya sendiri. Dia seolah-olah ingin jadi ‘Tuhan”. Dia
ingin semua keinginannya tercapai. Mustahil, manusia hakikatnya lemah.
Dia tidak boleh mengawal hati kekasihnya. Dia tidak boleh memastikan
kesetiaan kekasihnya. Ingat, mencintai seseorang bukanlah bererti
mengatur segala langkah dan perbuatannya demi cinta. Kita tak akan
mampu!
Ringkasnya, ujian hidup datang dengan
pelajaran, dan pelajaran itu datang bersama tuntutan perubahan. Jika
sudah berkali-kali pelajaran disampaikan, tetapi masih tidak ada
perubahan, maka itu bermakna remaja gagal dalam ‘sekolah’ kehidupan
mereka. Frust cinta, hakikatnya adalah ujian yang ingin merubah kita
untuk mula mencintai Allah.
Ingat, setiap kali sesuatu menimpa anda,
samada baik atau buruk. Itu adalah pelajaran yang menuntut perubahan.
Maka ubahlah diri kita selalu, ke arah yang baik, lebih baik dan
cemerlang. Setiap detik, setiap ketika, ada sahaja peristiwa yang akan
anda hadapi… maka belajarlah secara berterusan, dan berubahlah secara
berterusan… Nanti anda akan mencapai kebaikan secara berterusan pula.
Jangan sekali-kali menangguhkan pelajaran, nanti anda akan menangguhkan
perubahan dan akhirnya menangguhkan datangnya kebaikan.
Belajarlah dari sekolah kehidupan semasa
remaja lagi, supaya anda tidak diburu penyesalan apabila mencapai usia
tua. Kata pepatah, “belajar sewaktu muda bagai melukis di atas batu,
belajar sewaktu tua bagai melukis di atas air.” Teringat kata Dale
Carnargie dalam bukunya Stop Worrying and start living, “jangan gergaji abuk kayu!” Dan itulah nasib orang tua yang tidak belajar semasa mudanya!
Kita perlu sedar, hidup ini bagaikan satu
siri gelombang yang datang secara bergilir-gilir. Ada ketikanya,
gelombang kecil dan tenang dan ada ketikanya gelombang itu besar dan
ganas. Pada ketika gelombang itu ganaslah, semuanya terasa serba tidak
kena. Tuhan menetapkan bahawa setiap manusia itu tidak akan mendapat
kesenangan sahaja atau kesusahan sahaja.
Masing-masing daripada kita akan
mengalami pasang-surut dalam hidup – ada masa senang, ada masa susah.
Justeru dalam kehidupan ini, kita tidak boleh terlalu gembira kerana
selepas kegembiraan itu mungkin muncul kesusahan. Begitu juga kita tidak
boleh terlalu sedih bila kesusahan kerana mungkin selepas itu Allah swt
datangkan perkara-perkara yang menggembirakan.
Kesedaran tentang hukum Sunnahtullah ini
akan memberi ketenangan dalam hidup. Apabila kita ditimpa kesusahan,
rasakan dalam hati… ya, selepas ini akan datang kesenangan. Sabarlah
sebentar. Dan apabila datang kesenangan, kita tetap tidak alpa… ya,
selepas ini akan datang kesusahan. Bersiap-sedialah. Hakikatnya, tidak
ada kesenangan dan kesusahan yang abadi di dunia ini. Kehidupan adalah
satu pergiliran antara senang dan susah yang berterusan…
Cabaran kita bukan untuk mengawal
perubahan ‘cuaca’ kehidupan itu tetapi mengubah diri bagi menyesuaikan
diri dalam setiap keadaan yang berubah-ubah itu. Fahamilah hakikat ini.
Apabila kita frust dalam bercinta terimalah bahawa itu adalah hakikat
hidup. Hidup bukanlah yang serba kena, serba senang dan serba mudah.
Hidup tidak selalu indah, kerana di situlah keindahan hidup!
Sematkan di hati kata pujangga ini:“Sesungguhnya orang yang berkali-kali gagal bercinta, pada suatu saat akan bertemu jua…cinta sejati yang ditunggunya!”
Sumber : genta-rasa
Sumber : genta-rasa
No comments:
Post a Comment