Dengan Nama
Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang..
Alhamdulillah
sebagai satu tanda kesyukuran yang tak terhingga dipanjatkan kepada Allah SWT
yang sentiasa melimpahkan rahmatNya keatas kita semua. Dengan helaan nafas yang
masih diberikanNya.. Dengan nikmat Islam itu sendiri merupakan satu tanda
kasihNya yang Maha Agung pada kita hamba yang selalu terleka.
Semoga kita
semua akan tetap dan kekal berada di dalam RahmatNya dan tergolong dalam
golongan yang sedang mencari CintaNya.. InsyaAllah.
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah
menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu
berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah
mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi
Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan
yang lebih
keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha
Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).” (Surah Al-Hujurat ayat
13)
Melihatkan
situasi dan keadaan kini, terdetik di
hati saya seorang hamba yang hina ini untuk mencoretkan seribu satu kata-kata
buat renungan kita bersama sebagai satu tanda sayang dan persaudaraan kita.
Kali ini berkenaan isu “ Hari Valentine”.
Izinkan saya
memulakan sedikit bicara.
Ada apa dengan
hari Valentine? Saya yakin dengan soalan itu anda sendiri sudah dapat mencerna
dan membayangkan apa itu hari valentine. Hari di mana surat-surat (sms, video
dan sebagainya) mula berterbangan mengirimkan pelbagai ucapan dan kata-kata
manis semata-mata untuk menterjemahkan perasaan cinta kepada insan yang tidak
mempunyai hak dan talian sedikit pun. Hari dimana perkataan cinta itu diangkat
dan dijulang setinggi-tingginya dengan pelbagai cara. Ada yang memberikan
hadiah dan tak kurang juga dengan keluar bermesraan bersama pasangan
masing-masing.
“ Katakanlah kepada orang-orang mukmin (lelaki) agar mereka menundukkan
pandangan mereka dan menjaga kemaluan mereka. Demikian adalah lebih suci bagi
mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka kerjakan. Dan
katakanlah kepada wanita mukminah agar
mereka menundukkan pandangan mereka dan menjaga kemaluan mereka”( Surah An-Nur
: ayat 30,31)
Sejarah hitam
disebalik hari valentine
Sedarkah kita
apakah peristiwa hitam yang berlaku disebalik hari valentine ini? Luangkan
sedikit masa untuk membacanya. Fahamilah dan carilah apa yang tersirat
disebaliknya jika benar anda cintakan Islam. Valentine’s asal nama sebenarnya
St. Velentino merupakan seorang paderi paling berpengaruh di zaman pemerintahan
ratu Isabella di Sepanyol dan juga merupakan antara orang terpenting yang
menghancurkan tamadun Islam di Sepanyol. Oleh itu ratu Isabella telah
menetapkan 14 Februari sebagai hari mengingati kemenangan kristian terhadap
Islam. Maka barangsiapa yang merayakannya seolah-olah ia bergembira dan
merestui ke atas kekalahan orang Islam di Sepanyol.!!
Fatwa JAKIM
berkenaan hari valentine
” Amalan merayakan hari kekasih (
Valentine Day ) tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut
mempunyai unsur-unsur kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan
maksiat adalah dilarang oleh Islam yang jelas bercanggah dengan aqidah, syariah
dan akhlak Islamiah. Oleh itu umat Islam adalah DILARANG daripada melibatkan
diri di dalam meraikan hari tersebut. ” bertarikh 27 Disember 2005.
Apakah itu
Cinta?
Kita diciptakan
tidak serupa tapi tetap sama. Kerana kita diberikan cinta cuma bilamana cinta
itu cuba diterjemahkan ada yang mengatakan begini dan begitu. Dan secara
mudahnya “cinta itu adalah tanggungjawab”. Benar kata seorang ustaz cinta itu
adalah tanggungjawab. Kerana cinta yang dipandu syariat melahirkan
tanggungjawab yakni memikul amanah yang diberikan itu menuju redhaNya dengan
matlamat yang jelas. Manakala cinta yang dipandu nafsu hanyalah mengiyakan rasa
gembira dan demi memuaskan nafsu semata-mata tanpa tujuan yang nyata lagi kukuh.
Salahkah
bercinta?
Tidak! Bercinta
itu tidak salah tetapi realiti hari ini, “jalan” yang dipilih itu salah..! Jika
diperhatikan kebanyakkan remaja kini tidak melorongkan cinta yang lahir itu
pada jalannya yang benar. Maka wujudlah perkataan yang dipanggil “couple”. Dan
hari-hari untuk meraikan cinta ini (valentine) mula dijulang dan diangkat. Dari
detik itulah mulanya bibit-bibit kemesraan yang dipandang “indah” oleh nafsu.
Nauzubillah. Semoga kita dipeliharaNya.. Islam itu luas dan tidak pernah
mengongkong bahkan ia memandu kita supaya sentiasa kekal di atas jalan yang
diredhaiNya. Penyelesaiannya..??
Hadis Rasulullah SAW : "Wahai pemuda-pemuda,
sesiapa sahaja diantara kamu yang berkemampuan untuk berkahwin, maka
berkahwinlah kerana dengan berkahwin dapat menundukkan pandangan dan menjaga
kehormatan diri" (riwayat Bukhari dan Muslim)
Akhir kata
Ingatlah dalam
setiap situasi dan di mana sahaja kita berada, dahulukan Allah dalam setiap
perkara. Kerana itulah pegangan dan agama kita. Kerana kita ini hanyalah hamba
ciptaanNya semata-mata. Dan bersama-samalah kita berdoa dan meminta supaya
dijauhkan dari perkara yang boleh menjerumuskan kita ke dalam nerakaNya. Cintailah
Pemilik Cinta kerana itulah cinta yang sebenar dan kekal selamanya.!!
Cinta antara
makhluk itu anugerah dariMu jua.. Hanyalah secebis daripada KasihMu yang Maha
Agung.. Maka berkasih sayanglah makhlukMu sesama mereka.. Sehingga ibu harimau pun
menyembunyikan kuku daripada anaknya..
Ingatlah,
cinta itu merupakan Hadiah daripada Ilahi,
kepada hambanya,
agar tenang hati-hati ini dalam mengejar keredaan Nya,
Namun janganlah dilebihkan hadiah itu,
lebih daripada Pemberi hadiah.
Ingatlah,
cinta itu merupakan Hadiah daripada Ilahi,
kepada hambanya,
agar tenang hati-hati ini dalam mengejar keredaan Nya,
Namun janganlah dilebihkan hadiah itu,
lebih daripada Pemberi hadiah.
Sekian dahulu, Wallahu’alam.
No comments:
Post a Comment